Status Perkhidmatan

Aliran Kelana Jaya OK
Aliran Ampang OK
Laluan Bas OK

Perancang Perjalanan LRT

Pilih stesen yang ingin dituju

Pengurusan

Muka 1

SUFFIAN BAHARUDDIN
Ketua Pegawai Eksekutif

Suffian, 38, yang dikenali sebagai pakar strategi perniagaan dan kewangan, merupakan seorang akauntan dan graduan Universiti East Anglia (UK). Beliau memulakan kerjaya dengan menceburi bidang perbankan saudagar di Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad pada tahun 1994. Pada tahun 1996, Suffian bertukar ke Renong Berhad, bertugas sebagai Pengurus Kanan Divisyen Kewangan.

Pada tahun 1999, beliau memasuki industri pengangkutan bertugas sebagai Pengurus Kanan di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang kemudiannya menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kewangan di tempat yang sama. Semasa di MAHB, Suffian mengurus semua perkara yang berkaitan dengan kewangan, komersial dan pembangunan perniagaan, termasuk 11 anak syarikat MAHB.

Pada tahun 2006, Suffian menyandang jawatan yang lebih mencabar di Indah Water Konsortium iaitu sebagai Pengurus Besar Perancangan Korporat. Di sini beliau terlibat di dalam merancang perniagaan strategik untuk syarikat beralih kepada pelaksanaan syarat-syarat dan kaedah pelesenan baru untuk industri perkhidmatan air serta pengintegrasian perkhidmatan air dan perkhidmatan air kumbahan.

Suffian juga adalah Naib-Pengerusi mewakili "Malaysia of the International Association of Public Transport's (UITP)" Divisyen Asia Pasifik.


NOR HASSAN ISMAIL
Ketua Pegawai Operasi (Rel)

Nor Hassan Ismail, 53, berpengalaman bekerja lebih daripada 26 tahun di dalam industri Elektrikal, Telekomunikasi dan Pembinaan & Operasi Pengangkutan Awam.

Beliau berpengalaman luas di dalam sektor Elektrikal dan Telekomunikasi kerana pernah berkhidmat dengan agensi-agensi besar seperti agensi kerajaan, kontraktor utama bidang telekomunikasi dan kemudian sebuah Syarikat Pengurusan Projek (PL), mengurus kerja-kerja Elektrikal dan Telekomunikasi Lebuhraya Utara-Selatan untuk PLUS Berhad.

Terlibat dalam projek LRT PUTRA sejak daripada peringkat merekabentuk dan pembinaan dalam tahun 1995, Nor Hassan telah terlibat di dalam semua kontrak kerja-kerja Sistem (Elektrikal & Mekanikal) dan kontrak “Automatic Fare Collection”. Pada tahun 1998, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Kanan Operasi dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk Operasi dan Penyelenggaraan sistem LRT PUTRA.

Setelah RapidKL ditubuhkan pada tahun 2005, Nor Hassan menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Kejuruteraan Rel bagi kedua-dua aliran Kelana Jaya dan Ampang. Kini, beliau adalah Ketua Pegawai Operasi, Unit Perniagaan Strategik Rel, bertanggungjawab untuk semua perkhidmatan LRT RapidKL.


SHAHRIL MOKHTAR
Pengurus Besar - Perancangan & Strategi Korporat

Shahril, 36, graduan Universiti Missouri, Amerika Syarikat, memiliki Ijazah Psikologi Industri dan Organisasi dan Ijazah Sarjana Pengurusan dari Universiti Malaya.

Beliau berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang sumber manusia, komunikasi korporat dan perancangan strategik yang diperolehi melalui pengalaman bekerja di syarikat tempatan dan multinasional. Sebelum berkhidmat di RapidKL, beliau bertugas sebagai Pengurus Besar, Perkhidmatan Korporat, Penerbangan Malaysia Berhad (syarikat induk Penerbangan Malaysia). Beliau juga pernah bertugas di Maybank, British American Tobacco dan PricewaterhouseCoopers.

Beliau telah mengikuti Program Pendidikan Eksekutif di Wharton School, Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat dan kakitangan yang diiktiraf dalam "behavioural profiling" seperti Harrison Innerview, Thomas DiSC dan "Occupational Personality Questionaire".


EBI AZLY ABDULLAH
Pengurus Besar - Komunikasi

Divisyen Komunikasi yang diperkukuhkan baru-baru ini, diketuai oleh Ebi Azly Abdullah . Ebi, 36, memiliki 15 tahun pengalaman di dalam bidang komunikasi yang diperolehi sepanjang  penglibatan beliau dalam industri pengangkutan, sektor kerajaan dan media.

Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan di NSTP Group pada tahun 1992. dan kemudian berkhidmat di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2000 sebagai Pegawai Komunikasi di dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara, pengkhususan dalam mengurus perhubungan media strategik.

Pada tahun 2003, beliau memegang jawatan sebagai Pengurus Komunikasi Korporat di Malaysian Airlines Cargo Sdn Bhd (MASkargo), di mana beliau bertanggungjawab untuk pembangunan dan pelaksanaan strategi komunikasi korporat dan inisiatif-inisiatif dalaman serta luaran.  Beliau juga bertanggungjawab mempromosi jenama, imej, produk dan perkhidmatan termasuk pengurusan media dan isu melibatkan MASkargo.

Beliau mula berkhidmat dengan RapidKL pada 3hb Mac 2008.


SITI SHARIFAH ZAHRAH
Pengurus Besar – Modal Manusia

Siti Sharifah Zahrah, 47, graduan Diploma Pengajian Perbankan dari Universiti Teknologi MARA dan BBA (Hon.) pengkhusuan Kewangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Wales, Cardiff, di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik dalam program tersebut.

Beliau berpengalaman bekerja lebih 20 tahun dalam pelbagai industri (Bank Negara, Automotif, Semikonduktor, Teknologi Maklumat, Pembinaan dan Pengangkutan) dan memegang pelbagai jawatan antaranya jurulatih dan pemimpin Sumber Manusia, Perunding, Ahli Lembaga Pengarah dan penceramah Seminar/Persidangan. Pengalaman beliau dalam Sumber Manusia merangkumi Pentadbiran Korporat, Rekabentuk Organisasi, Kejuruteraan Sumber Manusia, Pembangunan Polisi, Pembangunan Kecekapan, Perancangan dan Pembangunan Kerjaya, Pengurusan Nilai dan Perancangan Tenaga Manusia (termasuk Pelaksanaan Pemisahan Sukarela).

Minat beliau untuk berinteraksi dengan orang yang berbeza menyebabkan beliau menukar kerjaya kepada Pengurusan Sumber Manusia. Pada tahun 1995, beliau telah terpilih menganggotai pasukan petugas untuk usaha-usaha mengubah pengurusan bank, dikendalikan oleh PA Consulting, Australia. Beliau juga bertauliah dalam "behavioral profiling" seperti Harrison Innerview dan ahli bertauliah "Targeted Selection Administrator" (sistem pemilihan kecekapan oleh Development Dimension Inc).


ZOOLINA BINTI MOHD NAIM
Pengurus Besar Kanan – Operasi Bas

Zoolina Mohd Naim, 46, bertugas di RapidKL pada tahun 2005, sebagai Pengurus Besar Kanan Pemasaran dan pada tahun 2008, beliau bertukar ke Operasi Bas juga memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan.

Beliau telah bekerja selama 10 tahun dalam Divisyen Antarabangsa Procter & Gamble, di mana beliau pernah bertugas di berbagai negara seperti Hawaii, Singapura, Malaysia, negera-negara ASEAN dan Kepulauan Pasifik (Amerika Syarikat), di dalam Jualan, Pemasaran, Pengambilan Pekerja, Pembangunan Organisasi & Latihan. Zoolina kemudian bertugas di Drypers sebagai Pengarah Jualan & Pemasaran dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Asia & Wilayah selama 5 tahun sebelum bertugas di RapidKL.

Beliau adalah graduan Sarjana Kepujian Sains dalam Pentadbiran Perniagaan pengkhususan berganda dalam Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Southern Illinois pada bulan Mei 1985, dan memperolehi Sarjana Pengurusan Perniagaan dalam Kewangan Korporat dari Universiti Illinois pada bulan Disember 1989.


MASNIZAM BINTI HISHAM
Pengurus Besar – Perolehan

Masnizam Binti Hisham, 36, adalah graduan LLB (Kepujian) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1996. Beliau menjalani latihan guaman selama sembilan bulan di Messrs. Shearn Delamore & Co. dan diterima masuk ke “Malaysian Bar” pada bulan September 1997. Beliau dilantik kembali di Messrs. Shearn Delamore & Co. sebagai Pembantu Guaman dan dinaikkan pangkat ke jawatan Pembantu Guaman Kanan pada tahun 2002.

Pada tahun 2004, beliau berkhidmat dengan SPKB, sebuah syarikat induk yang mempunyai  lebih daripada 30 anak syarikat termasuk SPK Sentosa Corporation Berhad, sebagai Penasihat Undang-undang/Setiausaha Syarikat. Masnizam berpengalaman luas di dalam perbankan korporat, kewangan Islamik, undang-undang komersial, usahasama antarabangsa, pengurusan pemilikan saham, hartanah dan perhubungan industri. Beliau juga arif di dalam rangka peraturan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Jawatankuasa Pelaburan Asing, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan agensi penguatkuasaan kerajaan negeri.

Muka 2

S.M.SABRI S.M. ISMAIL
Pengurus Besar – Teknologi Maklumat

S.M. Sabri S.M. Ismail, 48, mengetuai Divisyen Teknologi Maklumat yang dipertanggungjawabkan untuk mengintegrasi sistem-sistem Teknologi Maklumat yang berbeza yang pernah digunakan oleh syarikat-syarikat terdahulu RapidKL (sistem-sistem LRT PUTRA & STAR dan sistem-sistem bas Intrakota & Parkmay). Buat masa ini, integrasi yang telah siap diperkukuhkan termasuk mempunyai satu sistem korporat  LAN/WAN, sistem tiket yang sama, menggunakan kad tanpa sentuh Touch N Go, satu sistem perolehan/penyelenggaraan dan satu sistem kewangan. Projek-projek lain termasuk mempunyai satu sistem emel/mesej dan sistem HRMPS.

Sabri mempunyai lebih 20 tahun pengalaman bekerja di dalam bidang Teknologi Maklumat untuk industri Pembinaan dan Pengangkutan. Beliau adalah seorang jurutera awam yang terlatih dan memiliki ijazah “MSc in IT in Property and Construction”.  Sebelum bekerja di  RapidKL, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Express Rail Link Sdn Bhd.


AHMAD SAMSURI BIN AHMAD MUKRI
Pengurus Besar – Sekuriti, Keselamatan dan Kesihatan
Ahmad Samsuri, 56, adalah pemegang ijazah “Bachelor of Arts” pengkhususan Ekonomi dari Univerisiti Malaya pada tahun 1975. Beliau memulakan karier sebagai Kadet ASP Polis pada tahun 1978.  Beliau pernah bertugas di pelbagai kapasiti perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Mustapha berkhidmat di PUTRA LRT pada tahun 1995 dan menubuhkan jabatan keselamatan. Pada tahun 2007, PDRM meluluskan penubuhan pasukan Polis Bantuan RapidKL.
AMIRUDDIN BIN MA’ARIS
Pengurus Besar – Projek-projek Khas

Amiruddin Maaris, 39, pemegang ijazah “BEng Aerospace Engineering” daripada Universiti Kingston , UK pada tahun 1992.  Beliau juga pemegang ijazah “MSc Air Transport Management” daripada Universiti Cranfield , UK pada tahun 1994. Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1994, sebagai Jurutera Projek dan Jualan di General Electric Company (GEC).

Sepanjang 15 tahun pengalaman bekerja, Amiruddin terlibat di dalam pelbagai projek infrastruktur awam dan pengangkutan. Beliau terlibat di dalam projek Express Rail Link (ERL), bermula daripada peringkat pembidaan sehingga ke peringkat operasi & penyelenggaraan. Di sini, beliau dipinjamkan dari firma pemegang saham (TH Technologies SB), pemegang konsesi (ERL SB) dan operasi & penyelenggaraan (E-MAS SB – sebuah anak syarikat Siemens AG).  Projek-projek lain yang beliau pernah terlibat termasuk Fasa II “Gemas Army Range PLGPT” dan “Rubber Tyre Container Gantry Crane” di Terminal Westport . Di RapidKL, Amiruddin menerajui usaha syarikat untuk memperkenalkan lebih daripada 1000 buah bas baru untuk rangkaian Lembah Klang dan Projek Pemanjangan Aliran LRT.


HJ BUKHARI BIN MOHAMED
Pengurus Besar – Operasi Rel

Hj Bukhari Bin Mohamed, berusia 45 tahun, memulakan tugas di PUTRA LRT pada Julai 1996 sebagai Pengurus Operasi. Pada Jun 2000, beliau bertukar ke jawatan Pengurus di Jabatan Kejuruteraan.

Kemudian, beliau telah ditugaskan ke Panorama Langkawi Sdn Bhd dan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar pada bulan Disember 2002. Pada bulan April 2004, Hj Bukhari telah kembali ke Ibupejabat Subang dan dilantik sebagai Pengurus Kanan di Jabatan Bangunan dan Terowong. Pada bulan Februari 2005, beliau telah dilantik sebagai Ketua Seksyen di Jabatan Jaminan Kualiti.

Pada bulan Mei 2005, beliau dilantik ke jawatan Ketua Jabatan di Bahagian Gudang. Pada bulan Januari 2008, beliau telah ditugaskan ke KL Monorail dan memegang jawatan sebagai  Ketua Pegawai Teknikal. Hj Bukhari kembali bertugas di RapidKL sebagai Pengurus Besar, Operasi Rel pada bulan Januari 2009.

Hj Bukhari adalah graduan Sarjana Muda dalam Kejuruteraan (Industri & Pengkomputeran) dari sebuah universiti di Australia dan memperolehi Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2001.


ZOHARI BIN SULAIMAN
Pengurus Besar - Kejuruteraan Rel

Zohari Sulaiman, 51, graduan jazah Kejuruteraan Mekanikal daripada Liverpool , United Kingdom pada tahun 1982.

Beliau memulakan kerjaya di KTM Berhad pada tahun 1982. Beliau berpengalaman  luas dalam penyelenggaraan dan kejuruteraan kenderaan aliran rel, pengurusan tapak dan bengkel jentera untuk sektor “Heavy Rail”.
Pada tahun 1995, beliau berkhidmat dengan STAR LRT dan terlibat di dalam pembinaan sistem, latihan pengurusan sistem, menjalankan ujian dan menjayakan sistem LRT yang pertama di Malaysia .

Beliau berkhidmat dengan PUTRA LRT (dikenali sekarang sebagai RapidKL) pada tahun 1996. Kini, Zohari memegang jawatan Pengurus Besar Divisyen Kejuruteraan Rel,  bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan sistem tren LRT, sistem rangkaian trek, sistem elektrikal & elektronik “wayside”, sistem AFC, penentuan kualiti dan sistem kawalan termasuk pengurusan bengkel untuk kedua-dua aliran rel. Beliau juga terlibat di dalam menjalankan ujian, menjaya dan menerima sistem tren automatik sepenuhnya dan tanpa pemandu sekarang.  En. Zohari telah terlibat lebih 26 tahun dalam aktiviti penyelenggaraan dan pembangunan kejuruteraan rel.

Beliau merupakan seorang Jurutera Profesional (P. Eng.) yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan Jurutera Berkanun (C. Eng.) yang berdaftar dengan Majlis Kejuruteraan, UK. Beliau juga mempunyai keahlian korporat di Institut Jurutera Malaysia,    Institut Jurutera Mekanikal (UK), “Chartered Institute of Logistics & Transport” dan seorang ahli utama di “Permanent Way Institution”.


HAIRUDDIN ABDUL WAHAB
Pengurus Kanan - Divisyen Khidmat Komersil

Hairuddin Abdul Wahab, 39, graduan Diploma Penilaian dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1990 dan kemudian memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Hartanah dari University of Central England di Birmingham, United Kingdom pada tahun 1994.

Beliau berpengalaman bekerja selama 17 tahun dalam industri hartanah yang merangkumi bidang Pengurusan Hartanah, Pelaburan & Pengurusan Potfolio, Pemasaran & Perancangan Hartanah. Beliau juga mendapat pendedahan dalam mengurus aset dan hartanah bernilai tinggi dengan potfolio yang luas dalam pelbagai sub sektor seperti peruncitan, komersil, pejabat dan kediaman.

Beliau telah berkhidmat di pelbagai syarikat konglomerat tempatan dan antarabangsa seperti Caltex Oil (Malaysia) Limited, Maxis, Glomac Berhad dan Carrefour Malaysia. Jawatan terakhir yang beliau pegang adalah Pengurus Kanan Hartanah & Kompleks di Ibu Pejabat Carrefour Malaysia, di mana beliau mengurus semua Kompleks Belibelah Carrefour di seluruh negara ini.

Beliau mula bertugas di RapidKL pada 2 September 2008.


LEONG PENG CHIN
Pengurus Besar - Kewangan

Leong Peng Chin, 51, mempunyai keahlian  “Malaysian Institute of Accountants”, “Malaysian Institute of Certified Public Accountants” dan “Financial Planners Association of Malaysia”. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana MBA daripada University Bath.

Selain tanggungjawab sekarang sebagai Ketua Divisyen Kewangan RapidKL (yang merangkumi bidang Kewangan, Pengurusan Perkhidmatan Insurans dan Kawalan Pendapatan, beliau berpengalaman selama 28 tahun di dalam pelbagai bidang perniagaan. Sebelum bekerja di RapidKL, beliau pernah mengetuai bahagian-bahagian Kewangan di DHL ( Malaysia ) Sdn Bhd (sebuah syarikat logistik terkemuka), George Kent Bhd (sebuah syarikat pembuatan/infrastruktur dengan perniagaan di serata dunia), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (sebuah syarikat swasta besar yang mengurus air kumbahan) dan Fraser & Neave Sdn Bhd (sebuah syarikat FMCG yang unggul). Beliau memulakan kerjaya di PricewaterhouseCoopers dan memperoleh pengalaman dan pendedahan yang luas dalam  pelbagai jenis perniagaan semasa 8 tahun bertugas di bahagian-bahagian Audit, Cukai dan Konsultansi.