|

Ahli Lembaga Pengarah DATO' IDROSE MOHAMED Pengarah
Dato’ Idrose bin Mohamed merupakan seorang Jurutera Awam dan telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) pada 1 Oktober 2008. Beliau memulakan kerjaya di Jabatan Kerja Raya pada tahun 1978. Pada tahun 1983, beliau telah berkhidmat di Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai Jurutera Awam dan telah memegang pelbagai jawatan serta terlibat dalam pembangunan lebuhraya. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah LLM, Kawasan Utara pada bulan November 1991 sehinggalah beliau meninggalkan jawatan tersebut dan berkhidmat di UEM Group Berhad pada bulan Ogos 1994. Di UEM, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kejuruteraan dan Operasi untuk projek Lingkaran Sentral Lebuhraya Utara-Selatan. Bermula dari bulan Oktober 1996 hingga bulan Jun 1999, beliau telah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS). Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan, PLUS Expressways Berhad (PEB) sebelum PEB disenaraikan pada bulan Julai 2002.
Selepas hampir 8 tahun berkhidmat di PLUS/PEB, beliau berhenti dan menyertai Pos Malaysia Berhad (PMB) sebagai Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif pada bulan April 2007. Beliau meletakkan jawatan di PMB pada bulai Mei 2008. Beliau kemudian telah menyertai semula UEM Group Berhad sebagai Pengarah Kanan sehingga bulan Oktober 2008 apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Prasarana. Dato’ Idrose adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). DATO’ SULAIMAN IBERAHIM Pengarah Dato’ Sulaiman merupakan bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik Malaysia. Beliau telah berkhidmat lebih dari 32 tahun dan telah bertugas di pelbagai Kementerian dan Jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga pernah berkhidmat untuk pentadbiran kerajaan negeri Pahang dan Perak. Sebelum bersara, beliau telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah di Jabatan Perdana Menteri. Dato’ Sulaiman kini menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Amanah Raya Unit Trust Management Sdn Bhd, Dispetch Resources Sdn Bhd dan Awan Anggun Sdn Bhd. Beliau adalah graduan dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1972. ESHAH MEOR SULEIMAN Pengarah Eshah Meor Suleiman merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1980. Pada tahun 1994, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Kewangan dari Universiti of Oklahoma City, Amerika Syarikat. Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1981 sebagai Penolong Pengarah di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebelum menyandang jawatan sebagai Penolong Setiausaha di Divisyen Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan pada pertengahan 1991. Puan Eshah telah memegang pelbagai jawatan di Kementerian Kewangan dan pada bulan September 2006, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Pelaburan, Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbankan (MKD) dan Penswastaan sehingga kini. Puan Eshah adalah Pengarah Syarikat di Pos Malaysia Berhad, Global Maritime Ventures Sdn Bhd, JPK Sdn Bhd, Ninebio Sdn Bhd dan Jaring Communications Sdn Bhd. CHIN KWAI YOONG Pengarah Chin Kwai Yoong telah menyertai Lembaga Pengarah syarikat RapidKL pada bulan Januari 2005. Beliau pernah menjadi rakan kongsi di firma audit terkenal dari tahun 1982 sehingga beliau bersara pada tahun 2003. Semasa tempoh tersebut, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan bertanggungjawab dalam mengurus Divisyen Pengguna dan Produk Industri & Perkhidmatan serta Divisyen Perkhidmatan Perundingan Pengurusan. Beliau adalah Fellow di Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta memiliki keahlian di Malaysian Institute of Certified Public Accountants dan Malaysian Institute of Accountants. Beliau berpengalaman luas di dalam bidang audit yang melibatkan syarikat-syarikat besar dalam industri perbankan, minyak & gas dan automobil serta sektor jentera berat, pembuatan, pembinaan dan pembangunan harta. Beliau juga terlibat dalam memberi khidmat nasihat korporat yang merangkumi penyiasatan, penggabungan dan pengambilalihan serta penilaian saham. Beliau kini adalah Pengarah Syarikat di Deleum Berhad, Genting Berhad dan Astro All Asia Networks Plc. SYED HUSSAIN SYED HAMZAH Pengarah Syed Hussain merupakan graduan lulusan Brighton College of Technology (UK) dan mempunyai pengalaman luas dalam industri telekomunikasi. Beliau memulakan kerjaya di jabatan kerajaan iaitu di Jabatan Telekom Malaysia (kini Telekom Malaysia Berhad) pada tahun 1967 sebagai Penolong Pengurus, Seksyen Suis. Beliau telah memegang pelbagai jawatan di Jabatan Telekom Malaysia termasuklah sebagai Timbalan Pengurus Besar, Kawasan Sentral dan kemudian menyandang jawatan Pengurus Besar, Kawasan Utara dan Kawasan Timur serta seterusnya jawatan Pengurus Besar, Perancang Dasar Rangkaian. Pada tahun 1997, Syed Hussain telah dilantik sebagai Ketua Teknologi Rangkaian sehingga beliau bersara pada bulan Disember 1998. Beliau telah kembali menyertai Telekom Malaysia Berhad sebagai Penasihat Teknikal, Kumpulan Rangkaian & Pengawalan pada tahun 1999 sehingga bulan Januari 2002. Pada bulan Oktober 2002, Syed Hussain telah menyertai Telkom South Africa sebagai Pengurus Kanan (Antara-Hubung Tetap) dan pada tahun 2004, beliau telah menyertai semula Telekom Malaysia Berhad dan memegang jawatan sebagai Penasihat Teknikal, Pengawalan. Beliau kini adalah Pengarah di Bank Pembangunan Malaysia Berhad. SUFFIAN BAHARUDDIN Pengarah /Ketua pegawai Eksekutif
Suffian adalah seorang akauntan dan beliau merupakan graduan lulusan University of East Anglia (UK). Beliau memulakan kerjaya dalam bidang perbankan apabila menyertai Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad pada tahun 1994. Pada tahun 1996, Suffian telah menyertai Renong Berhad di mana jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengurus Kanan di Divisyen Kewangan. Pada tahun 1999, beliau telah menceburkan diri dalam industri pengangkutan iaitu sebagai Pengurus Kanan di Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) dan kemudiannya memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Kewangan. Semasa berkhidmat di MAHB, Suffian telah menguruskan semua hal ehwal berkaitan kewangan, pengurusan komersil dan pembangunan perniagaan kumpulan termasuk 11 anak syarikat MAHB. Beliau telah menyertai Konsortium Indah Water sebagai Pengurus Besar Perancangan Korporat pada tahun 2006. Di sini, beliau terlibat dalam merancang pelan perniagaan strategik untuk syarikat beralih kepada perlaksanaan syarat-syarat dan kaedah perlesenan baru untuk industri perkhidmatan air serta pengintegrasian perkhidmatan air dan air kumbahan. Suffian juga merupakan Naib Pengerusi mewakili Malaysia dalam International Association of Public Transport (UITP) untuk Divisyen Asia Pasifik.
|